Kes-kes Keganasan Yang Dilakukan Guru

Cabaran era komunikasi abad ke-21 terhadap sistem pendidikan negara begitu terasa. Ledakan teknologi maklumat dan kemajuan teknologi global serta kewujudan arus perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) dalam sistem pentadbiran negara, menuntut konsep pendidikan mencorak ke arah yang bercirikan teknologi secara saintifik.

Profesion perguruan juga merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Malangnya ketika kita bersungguh-sungguh menyahut cabaran masa kini untuk merealisasikan aspirasi negara, timbul pula pelbagai masalah dikalangan guru-guru.

Berita guru memukul pelajar, mendera, mencabul dan merogol anak didik sendiri sering berlaku dan menjadi topik media. Tidak kurang juga apabila ia menjadi bualan hangat dikalangan masyarakat. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Dahulu, para pendidik mempunyai status yang tinggi dalam hierarki hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi. Adakah ini berpunca dari sikap dan kelalaian guru itu sendiri?

Kes-kes Keganasan Yang Dilakukan Guru

                 Seterusnya kita ingin melihat bagaimana keganasan yang dilakukan guru terhadap pelajar. Pada 15 Disember 2005, seorang guru tuisyen, Patricia Barbara Shanta, 54 tahun telah ditahan kerana mendera pelajar  dan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas pelajar tahun tiga. Sementara itu, seorang guru didakwa kerana telah menendang pinggang seorang pelajar tahun enam sebanyak dua kali. Kejadian ini berlaku pada 2 April 2007 di salah sebuah sekolah di Sik, Kedah. Antara beberapa lagi kejadian yang menunjukkan keganasan dilakukan oleh guru adalah apabila muka seorang pelajar berusia  dua belas tahun senget akibat ditampar seorang guru pada 11 Jun lalu. Pelajar itu ditampar gara-gara ingin mengambil buku di dalam beg sebelum lewat menghadiri penghimpunan.

Di Sarawak, 18 Julai lalu, seorang guru wanita dikatakan ingin mendisiplinkan para pelajarnya yang membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas dengan merendam mereka beramai-ramai di dalam kolam. Guru tersebut yang juga merupakan seorang warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan telah mengambil keputusan untuk mendenda pelajar sedemikian akibat tidak tahan lagi dengan sikap pelajar-pelajarnya yang tidak menjaga kebersihan tandas asrama mereka.

 

Sementara di Alor Setar pula, seorang guru perempuan didakwa memukul seorang murid tahun tiga di sebuah sekolah rendah dengan menggunakan pembersih habuk plastik bertangkai besi kerana murid tersebut tidak membersihkan kelas pada waktu rehat seperti yang ditetapkan dalam jadual tugasan harian.

 

Seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan Gayang, Tuaran, Sabah pula digantung kerja selama dua bulan kerana telah didakwa menampar 22 pelajar tahun empat dari sekolah berkenaan yang tidak menyiapkan kerja sekolah mereka pada 19 Julai lalu.

 

Belum pun reda kes 200 pelajar perempuan direndam dalam kolam ikan di Sibu, tujuh pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama di Baram, Miri pula mendakwa dirotan guru sebanyak 10 hingga 20 kali kerana mengotorkan kawasan asrama. Di Alor Gajah, Melaka, gara-gara didakwa ponteng kelas, empat pelajar perempuan sebuah sekolah menengah dirotan belakang betis sehingga lebam dan bengkak, selain seorang daripada mereka dituduh mengandungkan anak luar nikah.

 

Sementara itu di Johor pula, beberapa nota ditulis seorang murid tahun dua untuk mencurahkan perasaannya selepas dipukul guru Bahasa Melayu sebagai bukti ‘penderaan’ terhadapnya di sebuah sekolah rendah di Batu Pahat. Bukti itu semakin jelas apabila mata kiri murid itu, mengalami pendarahan beku akibat dipukul guru terbabit.

Kesalahan tingkah laku guru ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah turut berlaku di negara lain juga.  Misalnya seperti yang berlaku di Shanghai, menurut laporan dari akhbar Xinming Evening News, seorang penolong guru besar sekolah tinggi wilayah Hubei didapati bersalah kerana memasukkan racun tikus ke dalam makanan sekolah. Beliau berbuat demikian untuk mendatangkan masalah kepada guru besar sekolah berkenaan supaya dia berpeluang naik pangkat.

              Berdasarkan kes-kes tersebut, kita dapat melihat betapa banyaknya kes-kes yang melibatkan guru. Bukan sahaja salah laku terhadap pelajar, guru juga telah dilaporkan bertindak ganas terhadap polis dengan menggunakan gergaji. Apakah yang menyebabkan ramai guru-guru bertindak ganas? Wajarkah seorang guru yang dianggap sebagai satu jawatan yang profesional bersikap sedemikian terhadap pelajar dan masyarakat?

Kenapa Guru Bertindak Kasar dan Ganas?

“Biasanya bukan sengaja guru ingin menimbulkan masalah, sudah tentu punca datang daripada kenakalan atau kedegilan kanak-kanak itu sendiri. Bukan semua murid itu baik dan patuh pada peraturan sekolah. Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita fahami”. Begitulah yang dikatakan oleh pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr. Mohd. Amin Shariff.

“Kita sememangnya tidak boleh memaafkan guru yang sudah dewasa dan berfikiran matang terlibat dalam insiden itu, tetapi dalam sesetengah kes mereka mungkin hilang pertimbangan”, ujarnya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa segelintir guru yang berhadapan dengan masalah disiplin mahupun masalah pencapaian akademik murid yang lemah, membuat penilaian bahawa murid perlu dihukum sebagai peringatan, pengajaran dan kesedaran kepada mereka. Mungkin guru tersebut termasuk dalam golongan yang yakin bahawa hukuman fizikal seperti merotan dan mendera akan memberi manfaat. Tetapi akibat daripada tindakan fizikal itu, kecederaan hingga luka dan lebam sudah tentu merisaukan ibu bapa. Mungkin guru berkenaan tidak berniat berbuat demikian hingga perlu mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan dalam menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu akan terjadi.

Pada masa lalu memang banyak ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru. Jika guru menghukum murid, murid tidak berani mengadu kepada ibu bapa sebab ibu bapa akan memihak kepada guru. Kini banyak ibu bapa berpelajaran tinggi dan mengubah cara keibubapaan daripada penggunaan kekerasan kepada psikologi. Cara kekerasan pada mereka adalah kuno dan kolot yang tidak sesuai lagi pada zaman ini. Tetapi hakikatnya, bukanlah mudah untuk meninggalkan cara kekerasan dalam mendidik pelajar.

Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, guru sekarang berdepan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan pelbagai karenah. Ini berbeza dengan murid yang diajar oleh rakan sejawat mereka sedekad dua yang lalu. Ketika itu murid lebih patuh kepada guru dan ia wajar dicontohi .

Prof. Dr. Robiah Sidin berpendapat punca guru bertindak keterlaluan mungkin kerana menghadapi tekanan jiwa akibat beban kerja yang terlalu banyak, tanggungjawab semakin berat dan tuntutan masyarakat yang menggunung terhadap guru.

Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan pula berkata, punca guru bertindak agak kasar mungkin kerana hilang kesabaran. Mungkin jika seorang murid yang nakal, guru dapat kawal tetapi kalau terlalu ramai, ia boleh menghilangkan kesabaran guru. “Guru juga manusia biasa, jika terlalu tertekan, sesekali kesabaran tidak boleh dikawal”, jelas beliau.

Walau bagaimanapun, munurut seorang kaunselor Universiti Islam Antarabangsa, Asniza Mamat, salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap murid ialah guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion perguruan .

“Bila tidak minat, bagaimana seseorang guru itu hendak menyesuaikan diri dengan karenah murid. Sudah tentu mereka tidak punya perasaan sabar. Mereka mudah merasa marah. Guru juga adalah manusia biasa yang mempunyai emosi, kadangkala perasaan marahnya sampai ke tahap lupa bahawa dia adalah guru dan berhadapan dengan anak orang lain”, jelas beliau.

Menurut beliau juga, sesetengah guru menghukum dengan tujuan untuk mendidik kerana kenakalan murid berkenaan. “Jangan salahkan guru sahaja kerana ibu bapa juga terlibat kerana kurang menekankan pendidikan moral kepada anak masing-masing. Ada juga murid yang berperangai baik di rumah tetapi nakal di sekolah”, tegas beliau.

Menurut Asniza lagi, kebanyakan guru kini yang dikeluarkan dari maktab atau universiti bukan sebenarnya bercita-cita untuk menjadi guru. Apabila bilangan guru amat berkurangan, kita menerima sahaja golongan yang sebenarnya tidak begitu sesuai menjadi guru. Mereka yang dilatih di maktab dan universiti inilah ada yang bersifat negatif dan orang begini tidak sesuai sebagai guru.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah menunjukkan bahawa kita harus menyokong keganasan yang dilakukan guru. Sebaliknya kita sama-sama perlu memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah agar perkara yang sama tidak berulang lagi dan bukan hanya menuding jari kepada mana-mana pihak.

Pendedahan kes guru mendera murid ini juga ada kebaikan untuk masyarakat menilai semula peranan masing-masing dalam mencari penyelesaiannya. Gejala ini perlu dibendung dan semua pihak adalah terlibat.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan supaya bengkel-bengkel diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan perasaan tertekan.

“Cara mengatasi guru ganas bukan sekadar menukarkan mereka ke tempat lain semata-mata. Sebaliknya jika mereka tidak berminat mengajar, lebih baik diambil tindakan tegas dengan memberhentikan guru tersebut”,  jelasnya lagi.

Beliau turut mencadangkan untuk mengatasi masalah guru ganas ialah dengan menapis calon guru dari peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini berguna untuk menguji kesesuaian seseorang sebagai guru.

“Guru perlu sedar bahawa pelajar adalah manusia biasa yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh itu murid patutlah mendapat layanan yang beradab. Dengan cara inilah boleh mendorong murid memberi penghormatan yang setimpal dengan layanan yang diberikan oleh guru kepada mereka. Sikap guru yang bengis dan garang hanya menakutkan murid untuk ke sekolah”, ujar beliau lagi.

              Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu marah dan jauhkan diri daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru.

Peranan Sebenar Guru

Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam perlaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh seorang guru dalam sesebuah sekolah amat penting terutama dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Menurut Mok Soon Sang (1988), antara peranan guru yang penting ialah sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing pelajar supaya mereka berusaha belajar secara individu atau berkumpulan dan bertindak sebagai ibu bapa kepada pelajar, demi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar. Peranan ini akan membantu pelajar menyesuaikan diri dan menganggap sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka. Selain itu, guru juga sebagai pendisiplin yang bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat. Guru juga sebagai contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada pelajar.

 Dengan ini, nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat diterapkan dalam jiwa pelajar. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak.

Larangan mendera dan mencela pelajar

“Guru tidak boleh mengenakan hukuman atau denda kepada pelajar yang melakukan kesalahan kecil dengan cara mendera atau mencela”, begitulah kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar.

 

Beliau berkata guru sebaliknya perlu mendidik pelajar yang melakukan kesalahan kecil, seperti membuat bising dalam bilik darjah, tidak memberikan perhatian sewaktu guru mengajar dan berkeliaran semasa waktu persekolahan.

 

“Macam-macam cara boleh dibuat. Guru boleh paksa murid menulis karangan di rumah, bagi kerja-kerja yang boleh memberikan nilai murni kepada pelajar,” kata beliau. Menurut beliau juga, semua hukuman dan denda yang berbentuk pendidikan telah dinyatakan secara jelas dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1983 di bawah Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid Yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran.

 

“Dalam pekeliling ini diberitahu tindakan hukuman seperti mengetuk dan menyekel kepala murid, menampar, mencubit hingga lebam, memulas telinga, membuat henjutan sambil memegang telinga, mencela, mendera seperti berlari keliling padang, menjemur atau menghukum murid secara berkumpulan tidak dibenarkan,” tegasnya.

 

Beliau juga berkata guru perlu memahami peraturan dan panduan yang telah digariskan. Sesungguhnya kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya mematuhi segala arahan sekolah, tetapi pada masa yang sama ada segelintir guru yang enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian. Ada segelintir guru menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara sendiri.

Menurut Presiden Persatuan Penguam Muslim, Zaitoon Datuk Othman, terdapat beberapa peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan disediakan dan telah menetapkan prosedur dan tindakan terhadap mereka yang mencederakan. Mulai dari Seksyen 319, ia menyentuh pelbagai perundangan terhadap mereka yang mencederakan. Antara seksyen yang menarik ialah peruntukan di bawah Seksyen 320 iaitu cedera parah; Seksyen 321 – dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 322 – dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa terdapat peruntukan di bawah Seksyen 350 iaitu kekerasan jenayah yang menetapkan bahawa barang siapa dengan sengaja menggunakan kekerasan kepada seorang lain dengan tidak kerelaan, maka ia telah melakukan atau dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah.

Sebagai contoh dalam Kanun Keseksaan, jika seorang guru besar telah menjalankan budi bicaranya dengan munasabah sebagai guru sebat seorang pelajar, maka guru tersebut tidak menggunakan kekerasan jenayah kepada pelajarnya kerana guru itu bermaksud hendak menyebabkan ketakutan dan kegusaran, ia tidak menggunakan kekerasan dengan menyalahi undang-undang. Bagaimanapun, jika murid berkenaan mengalami kecederaan yang teruk akibat dipukul oleh guru berkenaan, maka ibu bapa dinasihatkan membawa anaknya berjumpa dengan doktor di hospital kerajaan untuk tujuan rawatan dan laporan kesihatan. Ini harus disusuli dengan laporan polis.

Dalam konteks tindakan undang-undang, ibu bapa boleh mengambil tindakan prosedur undang-undang jenayah (criminal offence) ataupun sivil di bawah Undang-undang Tort. Di bawah prosedur Undang-undang Tort, tindakan yang dibawa oleh ibu bapa sebagai plaintif boleh menuntut pampasan bagi pihak anaknya daripada guru yang memukul di mahkamah sivil.

Hal ini jelas apabila Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri mengatakan bahawa kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap guru yang memukul pelajar sekolah ketika mengajar. Oleh sebab itulah guru-guru dinasihatkan agar tidak membuat tindakan terburu-buru dan mengikut emosi dalam menghukum pelajar.

Penyelesaian Bersama

Berita guru memukul murid sering menjadi bahan berita sensasi pihak media tetapi adakah pihak media dan masyarakat bersimpati dengan guru sekiranya kereta mereka pula yang dirosakkan oleh pelajar-pelajar?

Jelas sekali gurulah yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplin dan menghadapi pelbagai risiko keganasan pelajar sehingga diri sendiri yang tertekan. Layaknya mereka disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera.

Justeru itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan rasional apabila berdepan dengan kes guru memukul anak mereka. Tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul murid.

Ibu bapa dan masyarakat harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah. Oleh itu, isu guru mendera dan bertindak ganas adalah masalah yang perlu diberi perhatian semua pihak. Seterusnya penyelesaian bersama hendaklah ada terutama di antara guru, ibubapa, pelajar dan sekolah agar masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik.

About these ads

5 Comments »

  1. loko9691963 said

    Hidup GURU……orang nak didik anak-anak sekarang pun susah..tak pasal2 kena tampar dengan BAPA murid..

  2. hafsah said

    Rajin tul sponge bob kte wat feature writing kan…hehe, selain wat burger pandai wat rencana bagus..mantap2..patrick nak pic byk2 tau
    tke care

  3. mariana muhamad said

    Salam…
    Profesyen sebagai seorang GURU amat mencabar. Seorang guru mestilah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi di samping mendidik anak bangsa tercinta. Oleh itu, kepada para guru & bakal guru dengan adanya rencana sebegini akan menyedarkan para guru semua dengan kerjasama ibu bapa.
    Selamat Berjuang para GURU semua…

  4. nazeeha said

    nice article to read..hormatilah guru kita..tanpa mereka mungkin kita tak kenal siapa diri kita.good luck for final.

  5. izanrumaisya said

    assalamualaikum…
    satu rencana yg mnarik…sesuai utk smua lpisn msyrkt n sesiapa yg brgelar guru…n bkl brgelar guru….truskn usha…

RSS feed for comments on this post · TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: