
Sewaktu saya berjalan di sekitar kampus dan kolej kediaman saya dapati di tangga-tangga bangunannya dipenuhi dengan pelbagai jenis jualan. Ada yang menjual air, kerepek, mee segera, jajan dan sebagainya. Tidak kurang juga disediakan mesin jual air secara elektronik untuk kemudahan pelajar-pelajar.
Tapi yang menjadi tanda tanya pada saya adalah “Adakah urusniaga ini sah dan mengikut landasan yang ditetapkan oleh Syarak?” Mungkin ada yang mengatakan bahawa jual beli ini sah, kerana di sini terdapat kerelaan antara penjual dan pembeli, maka di sini mungkin telah termaktubnya akad jual beli tersebut. Tapi hingga kini saya sendiri masih tidak pasti dengan hukum sebenarnya.
Rukun-rukun Jualbeli
Rukun-rukun jualbeli ialah seperti berikut :
1. Penjual dan pembeli
2. Barang dan harga
3. Ijab dan qabul, iaitu ucapan yang menunjukkan persetujuan menyerahkan barang-barang dan menerimanya antara penjual dan pembeli
Syarat-syarat Penjual dan Pembeli
Syarat-syarat penjual dan pembeli ialah seperti berikut :
1. Akilbaligh – tidak sah jualbeli yang dilakukan oleh orang-orang gila dan kanak-kanak. Tetapi menurut mazhab Hambali, sah jualbeli yang dilakukan oleh kanak-kanak bagi sesuatu yang sedikit walaupun masih belum mumaiyiz dan walaupun tanpa keizinan dari penjaganya. Adapun sesuatu yang banyak, maka tidak sah dilakukan oleh kanak-kanak yang tidak mumaiyiz walaupun dengan keizinan penjaganya.
2. Tidak ditahan haknya – tidak sah jualbeli orang-orang yang ditahan hartanya disebabkan bangkrap atau sebagainya.
3. Tidak dengan paksaan – tidak sah jualbeli yang dilakukan dengan paksaan, kecuali jika dipaksa dengan hak seperti dipaksa bagi membayar hutangnya, atau dipaksa oleh pihak pemerintah menjual barang-barang kepada orang ramai yang memerlukan barang-barang tersebut.
4. Pembeli hendaklah juga orang Muslim jika dijual perkara-perkara ayat-ayat Al-Quran atau hadis-hadis.
5. Pembeli hendaklah bukan musuh jika penjualan senjata.
6. Merdeka – tidak sah juabeli oleh hamba sahaya.
Syarat-syarat Barang Jualan
Barang-barang yang hendak dijual itu mestilah :
1. Suci – tidak sah, menjual barang-barang najis, seperti tahi, bangkai, anjing, babi atau sebagainya. Begitu juga tidak sah sesuatu yang terkena najis yang tidak boleh disucikan seperti susu, minyak, cuka atau sebagainya yang terkena najis.
2. Ada manfaat – tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh mendatangkan manfaat, seperti serangga yang tidak mendatangkan faedah. Begitu juga tidak sah menjual benda-benda yang tidak bernilai seperti menjual dua biji beras atau sebagainya.
3. Boleh diserahkan kepada pembelinya – tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh diserahkan seperti burung di udara, ikan di dalam lautan dan sebagainya.
4. Barang itu mestilah kepunyaan penjual, atau barang yang telah diwakilkan kepadanya.
5. Diketahui tentang jenis, kadar dan sifat barang-barang itu.
Sighah Jualbeli
Sighah ialah ucapan penjual dan pembeli. Ucapan penjual dipanggil ijab dan ucapan pembeli dipanggil qabul.
Contoh ijab, yakni ucapan penjual atau wakilnya seperti : “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan harga sebanyak sepuluh ringgi.”
Contoh qabul, yakni ucapan pembeli atau wakilnya seperti : “Saya membelinya dengan harga yang tersebut.”
Sighah jualbeli ini boleh juga didahulukan qabul, ucapan pembeli, seperti katanya: “Saya beli barang ini dengan harga sepuluh ringgit.” Lalu kata penjual: “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan harga sepuluh ringgit.”
Dan boleh juga dengan ucapan seperti : “Saudara jualkan barang ini kepada saya dengan harga sepuluh ringgit.” Lalu penjual berkata “ “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan harga yang tersebut.”
Sighah ini boleh juga dengan cara kinayah (tidak terang), seperti katanya: “Saudara ambilah barang ini dengan harga lima belas ringgit.” Cara kinayah ini mestilah dengan niat jualbeli.

Syarat-syarat Ijab dan Qabul
Disyaratkan pada ijab dan qabul enam syarat, iaitu :
1. Tidak diselangi oleh perkataan lain yang tidak bersangkutan dengan aqad. Tetapi jika yang bersangkutan dengan aqad seperti syarat khiar, maka tidak mengapa.
2. Tidak berselang lama antara ijab dan qabul. Tetapi jika sekejap saja berselang antara keduanya, maka tidak mengapa.
3. Tidak berubah lafaz yang pertama. Jika berubah, seperti katanya: “Saya jualkan barang ini dengan harga seratus ringgit bahkan dengan lima ratus”, maka tidak sah jualan tersebut. Tetapi jika ucapan yang kedua itu diulangi dengan sempurna, seperti katanya: “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan seratus ringgit, saya jualkan barang ini kepada saudara dengan lima ratus ringgit.” Jawab pembeli : “Saya menerimanya”, maka sah jualan itu dengan lima ratus ringgit.
4. Tidak bertakliq – tidak sah jualan yang bertakliq seperti kata penjual: “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $300.00, jika ayah saya meninggal dunia.”
5. Tidak memakai jangka waktu – tidak sah jualan yang memakai jangka waktu, seperti kata penjual: “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $300.00 dalam masa setahun.”
6. Bersamaan ijab dan qabul pada maknanya. Tidak sah jika tidak bersamaan seperti seratus ringgit dengan seratus rupiah.
Jualbeli Tanpa Ijab-Qabul
Tidak sah jualbeli tanpa ijab dan qabul seperti secara unjukterima di antara penjual dan pembeli. Tetapi Imam Nawawi dan juga sebahagian ulama, mengatakan sah jualbeli dengan apa cara yang dinamakan jualbeli walaupun tanpa ijab dan qabul. Pendapat yang kedua ini lebih praktikal dan selaras dengan amalan sehari-hari.
Jadi, marilah kita sama-sama fikirkan dan cari jawapan kepada hukum jual beli ini. Kepada sesiapa yang tahu mengenai hukum ini, sila berikan komen anda sebagai ilmu yang akan dikongsi dengan orang lain yang ingin mengetahuinya.. 
aina08 said
salam apa tindakan awak sebagai pelajar asarama tentang jualan ini