Jualan Tanpa Cashier

Sewaktu saya berjalan di sekitar kampus dan kolej kediaman saya dapati di tangga-tangga bangunannya dipenuhi dengan pelbagai jenis jualan. Ada yang menjual air, kerepek, mee segera, jajan dan sebagainya. Tidak kurang juga disediakan mesin jual air secara elektronik untuk kemudahan pelajar-pelajar.

Tapi yang menjadi tanda tanya pada saya adalah “Adakah urusniaga ini sah dan mengikut landasan yang ditetapkan oleh Syarak?” Mungkin ada yang mengatakan bahawa jual beli ini sah, kerana di sini terdapat kerelaan antara penjual dan pembeli, maka di sini mungkin telah termaktubnya akad jual beli tersebut. Tapi hingga kini saya sendiri masih tidak pasti dengan hukum sebenarnya.

         Rukun-rukun Jualbeli

           Rukun-rukun jualbeli ialah seperti berikut :

 1. Penjual dan pembeli

 2. Barang dan harga

 3. Ijab dan qabul, iaitu ucapan yang menunjukkan persetujuan menyerahkan barang-barang dan menerimanya antara  penjual dan pembeli

Syarat-syarat Penjual dan Pembeli

Syarat-syarat penjual dan pembeli ialah seperti berikut :       

         1. Akilbaligh – tidak sah jualbeli yang dilakukan oleh orang-orang gila dan kanak-kanak.  Tetapi menurut mazhab Hambali, sah jualbeli yang dilakukan oleh kanak-kanak bagi sesuatu yang sedikit walaupun masih belum mumaiyiz dan walaupun tanpa keizinan dari penjaganya.  Adapun sesuatu yang banyak, maka tidak sah dilakukan oleh kanak-kanak yang tidak  mumaiyiz walaupun dengan keizinan penjaganya.

        2. Tidak ditahan haknya – tidak sah jualbeli  orang-orang yang ditahan hartanya disebabkan bangkrap atau sebagainya.

        3. Tidak dengan paksaan – tidak sah jualbeli yang dilakukan dengan paksaan, kecuali jika dipaksa dengan hak seperti dipaksa  bagi membayar hutangnya, atau dipaksa oleh pihak pemerintah menjual barang-barang kepada orang ramai yang memerlukan barang-barang tersebut.

        4. Pembeli hendaklah juga orang Muslim jika dijual perkara-perkara  ayat-ayat Al-Quran atau hadis-hadis.

        5. Pembeli hendaklah  bukan musuh jika penjualan senjata.

        6. Merdeka – tidak sah juabeli oleh hamba sahaya.

 Syarat-syarat Barang Jualan

Barang-barang yang hendak dijual itu mestilah :

 1. Suci – tidak sah, menjual barang-barang najis, seperti tahi, bangkai, anjing, babi atau sebagainya.  Begitu  juga tidak  sah  sesuatu yang terkena najis yang tidak boleh disucikan seperti susu, minyak, cuka atau sebagainya yang terkena najis.

2. Ada manfaat – tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh mendatangkan manfaat, seperti serangga  yang tidak mendatangkan faedah.  Begitu juga tidak sah menjual benda-benda yang tidak bernilai seperti menjual dua  biji beras atau sebagainya.

3. Boleh diserahkan kepada pembelinya – tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh diserahkan seperti burung di udara, ikan di dalam lautan dan sebagainya.

4. Barang itu mestilah kepunyaan penjual, atau barang yang telah diwakilkan kepadanya.

5. Diketahui tentang jenis, kadar dan sifat barang-barang itu.

 Sighah Jualbeli

Sighah ialah ucapan penjual dan pembeli.  Ucapan penjual dipanggil ijab dan ucapan pembeli dipanggil qabul.

Contoh ijab, yakni ucapan penjual  atau  wakilnya  seperti : “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan harga sebanyak sepuluh ringgi.”

Contoh qabul, yakni ucapan pembeli atau  wakilnya seperti : “Saya membelinya dengan harga yang tersebut.”

Sighah jualbeli ini boleh juga didahulukan qabul, ucapan pembeli, seperti katanya: “Saya beli barang ini dengan harga sepuluh ringgit.” Lalu kata  penjual:  “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan harga sepuluh ringgit.”

Dan boleh juga dengan ucapan seperti : “Saudara jualkan barang ini kepada saya dengan harga sepuluh ringgit.”  Lalu penjual berkata “ “Saya  jualkan barang ini kepada saudara dengan harga yang tersebut.”

Sighah ini boleh juga dengan cara kinayah (tidak terang), seperti katanya: “Saudara ambilah barang ini dengan harga lima belas ringgit.” Cara kinayah ini mestilah dengan niat jualbeli.

Syarat-syarat Ijab dan Qabul

Disyaratkan pada ijab dan qabul enam syarat, iaitu :

1. Tidak diselangi oleh perkataan lain yang tidak bersangkutan dengan aqad.  Tetapi jika yang bersangkutan dengan aqad seperti syarat khiar, maka tidak mengapa.

2. Tidak berselang lama antara ijab dan qabul.  Tetapi jika sekejap saja berselang antara keduanya, maka tidak mengapa.

3. Tidak berubah lafaz yang pertama.  Jika berubah, seperti katanya: “Saya jualkan barang ini dengan  harga seratus ringgit bahkan dengan lima ratus”, maka tidak sah jualan tersebut.  Tetapi jika ucapan yang  kedua itu diulangi dengan sempurna, seperti katanya:  “Saya jualkan barang ini kepada saudara dengan seratus ringgit, saya  jualkan barang ini kepada saudara dengan lima ratus ringgit.” Jawab pembeli : “Saya menerimanya”, maka sah jualan itu dengan lima ratus ringgit.

4. Tidak bertakliq – tidak sah jualan yang bertakliq seperti kata penjual: “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $300.00, jika ayah saya meninggal dunia.”

5. Tidak memakai jangka waktu – tidak sah jualan yang memakai jangka waktu, seperti kata penjual: “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $300.00 dalam masa setahun.” 

6. Bersamaan ijab dan qabul pada maknanya.  Tidak sah jika tidak bersamaan seperti seratus ringgit dengan seratus rupiah.

 Jualbeli Tanpa Ijab-Qabul

Tidak sah jualbeli tanpa ijab dan qabul seperti secara unjukterima di antara penjual dan pembeli.  Tetapi Imam Nawawi dan juga sebahagian ulama, mengatakan sah jualbeli dengan apa  cara yang dinamakan jualbeli walaupun tanpa ijab dan qabul.  Pendapat yang kedua ini lebih praktikal dan selaras dengan amalan sehari-hari.

Jadi, marilah kita sama-sama fikirkan dan cari jawapan kepada hukum jual beli ini. Kepada sesiapa yang tahu mengenai hukum ini, sila berikan komen anda sebagai ilmu yang akan dikongsi dengan orang lain yang ingin mengetahuinya..

1 Comment »

  1. aina08 said

    salam apa tindakan awak sebagai pelajar asarama tentang jualan ini

RSS feed for comments on this post · TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: